Faktor Kepercayaan dan Jujur

     Mempercayai seseorang bukanlah mudah sebenarnya. Jika baru mengenalinya tentu perasaan
sangsi akan timbul dari sanubari. Ada juga yang sudah lama mengenali tapi masih juga belum
mempercayai. Dalam satu perhubungan, tidak wajar sekiranya kamu masih tidak ada kepercayaan
terhadap si dia. Walaupun mungkin kamu tidak akan mempercayai si dia seratus peratus (100%),
tapi tak salah kalau kamu meletakkan anggaran dibawah 70 peratus keyakinan kamu terhadapnya.
Tapi mudahkah kamu melakarkan kepercayaan terhadap si dia? Sebenarnya ada faktor-faktor yang
boleh menimbulkan kepercayaan.
Faktor 1 - Konsisten
Kamu mempercayai apa yang dilihat dan didengar tanpa syak wasangka. Bagi kamu apa yang
dibicarakan tidak perlu disangsi kerana ianya ada kebenaran serta boleh mendatangkan kebaikan
dalam perhubungan kamu. Tapi berhati-hatilah kerana mungkin dengan cara ini si dia boleh
menjerat kamu. Siapa tahukan!
Faktor 2 - Boleh dikawal
Perkara-perkara yang bagi kamu adalah konsisten membuatkan kamu boleh menganggap adakah si
dia boleh dikawal ataupun tidak. Contohnya, si dia akan datang tepat pada waktu yang dijanjikan
dan boleh menerima pendapat kamu. Maknanya kamu boleh mengawal dirinya dari melakukan
perkara yang tidak kamu sukai. Bukanlah bermakna kamu boleh mengongkongnya tetapi jika si dia
menuruti kehendak kamu ini bermakna si dia mempercayai kamu dan tidak ragu-ragu dengan cara
kamu.
Faktor 3 - Komitmen
Komitmen bukanlah sekadar menepati janji, tapi juga menghargai perjanjian yang telah dipersetujui
bersama. Jika kamu ataupun si dia berani berkomitmen dan bersungguh-sungguh dalam
perhubungan , tentu saja perhubungan kamu ceria dan aman. Sikap saling mempercayai yang
wujud dalam diri masing-masing akan mewarnai lagi perhubungan kamu itu. Malah ianya akan
membuatkan si dia lebih yakin dengan kejujuran kamu terhadapnya. Jadi tiada alasan untuk si dia
berlaku curang terhadap kamu.
Faktor 4 - Kejujuran
Kejujuran memang perlu untuk menjamin sebuah perhubungan yang bahagia. Kamu juga tidak
patut menyembunyikan perkara-perkara yang sepatutnya diketahuinya. Jika kamu dan si dia jujur ,
ini membolehkan kamu berdua tidak takut untuk berbahas kerana berpendapat ianya juga untuk
kebaikan bersama. Walaupun adakalanya tercetus pertengkaran kecil kerana masing-masing ingin
mengutarakan pendapat sendiri, tetapi akhirnya mengambil keputusan untuk memilih pendapat
yang terbaik demi menjamin perhubungan yang stabil.
Faktor 5 - Terima seada-adanya
Kunci keintiman dalam suatu perhubungan adalah menerima seadanya baik buruk pasangan kamu.
Bila hati sudah suka dan sayang, tentu saja kamu sanggup menerimanya walaupun menyedari
tentunya ada perkara-perkara negatif tentangnya. Namun begitu, tentunya kamu dan si dia
berusaha untuk berubah jika terdapat sikap-sikap yang tidak disenangi hingga boleh menjejaskan
perhubungan. Usaha kamu dan si dia ini menampakkan kesungguhan yang amat ketara demi
menjamin perhubungan.
Faktor 6 - Perlu dimengertikan
Sebahagian besar individu menginginkan pasangan yang tidak hanya mendengar pendapat sebelah
pihak. Malah harus bijak mengutarakan pendapat sendiri. Kamu juga tentunya berharap agar si dia
mengerti tentang pandangan kamu terhadap pelbagai perkara. Jika tidak, mungkin perhubungan hanya mendatar saja. Bukan itu saja, kemarahan juga boleh timbul ekoran perasaan yang tidak
dimengertikan dan menganggap diri kamu tidak dihargainya.
Faktor 7 - Simpati
Simpati adalah usaha untuk memberikan pengertian yang lebih mendalam, seakan berusaha
menempatkan diri kita di dalam emosi si dia. Sebenarnya tidak mudah melakukan perkara ini. Tapi
bila dapat menimbulkan simpati, kebanyakan pasangan mampu mengatasi perkara-perkara yang
boleh menimbulkan pertengkaran dan perselisihan pendapat kerana memahami sesuatu yang boleh
mengganggu hubungan.
Faktor 8 - Diyakini
Bila rasa yakin, kamu boleh memberi pandangan bersama si dia. Baik dalam hal-hal remeh temeh
hinggakan ke perkara yang serius. Kamu akan merasa si dia bukan saja mendengar malah akan
menyimpan rahsia kamu. Apa yang penting kamu juga harus mengetahui dan berkeyakinan adakah
si dia memang boleh menyimpan rahsia ataupun tidak!
Faktor 9 - Perbezaan pendapat
Memanglah tak dapat lari dari perbezaan pendapat antara kamu dan si dia. Mereka yang berusaha
terlalu keras untuk menyangkal atau takut mengakui bahawa dirinya berbeza pendapat dengan
pasangannya selalunya seorang yang tidak berani menghadapi kenyataan. Tak mungkin akan selalu
sama pendapat sebaliknya mampu berkompromi untuk menunjukkan kedewasaan masing-masing.
Faktor 10 - Elakkan dendam
Cinta sejati akan diwarnai oleh pengertian dan rasa untuk dimaafkan. Kerana dendam boleh
menjadi punca kehancuran sesebuah perhubungan. Walaupun pernah dilukai, namun perasaan
dendam ataupun membalas balik mungkin tidak akan terlintas dalam fikiran. Bagi diri kamu,
mungkin berdendam bukanlah jalan penyelesaian yang terbaik malah ianya akan memburukkan lagi
keadaan. Oleh sebab itulah kemaafan adalah perkara yang terbaik untuk menjernihkan suasana.
Faktor 11 - Berfikiran terbuka
Banyak pasangan merasakan tidak perlu untuk mengungkapkan secara lisan apa yang ada
dibenaknya. Walaupun hakikatnya perkara itu sangat penting dan perlu disampaikan secepat
mungkin bagi menggelakkan perkara yang tidak diingini akan berlaku. Oleh sebab itulah, jalan yang
terbaik ialah setiap individu harus berfikiran terbuka. Bukannya harus menerima pendapatnya tanpa
perlu berfikri panjang sebaliknya kita harus mendengarnya dahulu dan barulah membuat
keputusan. Tak semestinya apa yang dikatakan tidak elok begitu juga sebaliknya.
Faktor 12 - Tulus dan jujur
Ketulusan dan kejujuran memainkan peranan yang penting dalam sesebuah perhubungan. Bukan
saja dari segi perbuatan malah juga percakapan. Apa yang ingin disampaikan haruslah dengan niat
sejujur yang mungkin dan bukanlah hanya untuk melindungi kesilapan. Pilihlah kata-kata yang
sedap didengar dan senang dimengertikan. Melalui komunikasi, kita juga boleh menangkap adakah
si dia jujur dan tulus ataupun sebaliknya.
Faktor 13 - Tak selalu didampingi
Bukan semua orang sukakan kekasihnya sentiasa disisi. Ada juga yang inginkan sedikit kebebasan
dan asal bijak mengawal diri itu sudah cukup memadai. Apa yang penting, jika si dia tidak
menemani kamu, jangan pula berfikir yang bukan-bukan dan mulalah menganggap yang si dia
sengaja mahu mengabaikan kamu. Singkirkan perasaan ini kerana ini bukanlah niatnya sebaliknya
ingin memberikan kamu sedikit ruang untuk menjalani aktiviti sendiri.
Faktor 14 - Jauh di mata dekat di hati
Saat terpisah dek jarak yang jauh sebenarnya banyak mengajar kita erti rindu yang sebenar.
Walaupun tempohnya agak lama, haruslah mempercayai jarak dan waktu tersebut tidak akan
memisahkan diri kamu dan si dia. Perasaan ini harus wujud walaupun tidak selalu dapat berdua namun perasaan saling merindu dan menyayangi akan menguatkan lagi perhubungan kamu itu.
Apapun teguhkan hati dan pendirian kamu bahawa hanya cinta si dia sahaja yang bertakhta di hati.
Faktor 15 - Persamaan
Persamaan antara kamu berdua akan menguatkan lagi rasa cinta bila masing-masing yakin bahawa
hubungan itu diimbangkan dengan prioriti utama. Jangan hanya mementingkan hak seorang diri
saja dan haruslah mengambil berat tentang kedua belah pihak. Sebenarnya kamu berdua saling
memerlukan antara satu sama lain untuk memastikan keseimbangan dalam perhubungan.
Faktor 16 - Tak saling menyalahkan
Tak selalu hubungan yang terjalin berjalan lancar dan adakalanya ia akan bergegar jua. Hubungan
cinta yang lancar haruslah tidak dilandasi sikap saling menyalahkan. Apa yang terjadi merupakan
interaksi dari dua pihak yang memiliki kebebasan mengeluarkan pendapat dan keinginan yng
berbeza. Menyalahkan antara satu sama lain bukanlah boleh menyelesaikan masalah sebaliknya
akan menjejaskan lagi hubungan. Keegoan mungkinlah penyebab mengapa kamu dan si dia saling
menyalahkan antara satu sama lain.
Faktor 17 - Hormat-menghormati
Saling hormat-menghormati adalah dasar perhubungan yang positif. Kamu harus menghormati si
dia dan begitu juga sebaliknya. Tapi jangan kerana terlalu menghormatinya hinggakan kamu berasa
amat segan dengannya. Ini akan mendorong rasa malu dan segan untuk meluahkan apa yang
kamu pendamkan dan membuatkan hubungan kamu sukar untuk berkembang. Oleh sebab itulah
kamu perlu membatasi rasa hormat dan segan terhadap si dia.
Faktor 18 - Penghargaan
Tidak salah sekiranya kamu menghargai si dia. Bukannya hendak menyanjung tinggi ataupun
terlalu memuja dirinya. Tetapi biarlah sekadar si dia tahu yang kamu amat mengharagi kasih dan
dirinya. Caranya? Emmm hanya kamu saja yang tahu bagaimana kerana lain orang lainlah caranya.
Apapun kalau kamu memang sayangkannya, jangan segan silu untuk menunjukkan perasaan kamu
serta jangan lupa harga perasaan dan dirinya.
Faktor 19 - Bukan materialistik
Bayangkanlah kalau kamu seorang yang materialistik? Mesti kekasih kamu capek dibuatnya. Mana
taknya kalau kamu minta yang bukan-bukan. Dalam perhubungan, jangan sesekali kamu
menjadikan wang sebagai punca utama mengapa kamu memilih si dia. Jika ianya terjadi, hubungan
kamu mungkin sukar bertahan lama dan membuatkan si dia akan berprasangka terhadap kamu.
Faktor 20 - Perancangan bersama
Manusia hanya mampu merancang tapi Tuhan yang menentukan segalanya. Tapi ada bagusnya
kalau kamu dan si dia merancang sesuatu untuk menjamin kebahagian. Tentunya kamu sendiri
inginkan yang terbaik demi masa depan bersama. Bukan mudah untuk mencipta kebahagiaan dan
mengecapi kegemilangan dalam perhubungan. Pastinya semua mengimpikan sesuatu yang indah
dalam perhubungan.


Sumber: Arief Rahman Hakim, ST

0 comments:

Post a Comment

 
Redesign by who?